Table of Contents
ToggleDefinisi Zakat KWSP
Simpanan wang KWSP adalah merujuk kepada wang daripada pendapatan seseorang hasil daripada pekerjaannya yang disimpan did alam akaun simpanan pekerja kerana tertakluk di bawah akta KWSP.
Ahli KWSP yang beragama Islam bertangungjawab membayar zakat ke atas simpanan KWSP yang layak dikeluarkan dan digunakan tanpa sebarang sekatan, iaitu mempunyai pemilikan sempurna pada kadar 2.5% tertakluk kepada nisab ( Kadar minimum yang bersamaan dengan nilai semasa 85 gram emas) seperti yang ditentukan oleh Lembaga Zakat Selangor.
وَٱلَّذِينَ يَكْنِزُونَ ٱلذَّهَبَ وَٱلْفِضَّةَ وَلَا يُنفِقُونَهَا فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ فَبَشِّرْهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍۢ ٣٤يَوْمَ يُحْمَىٰ عَلَيْهَا فِى نَارِ جَهَنَّمَ فَتُكْوَىٰ بِهَا جِبَاهُهُمْ وَجُنُوبُهُمْ وَظُهُورُهُمْ ۖ هَٰذَا مَا كَنَزْتُمْ لِأَنفُسِكُمْ فَذُوقُوا۟ مَا كُنتُمْ تَكْنِزُونَ ٣٥
“Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): “Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.”
(Surah At-Taubah : Ayat 34-35)
Jenis Zakat KWSP
Terdapat dua pandangan mengenai zakat KWSP :
Sebelum mencapai umur 55 tahun (pemilikan belum sempurna)
2.5% dari jumlah pengeluaran KWSP adalah jumlah wajib zakat. Jumlah pengeluaran tidak mengira samada mencapai nisab. Jika jumlah pengeluaran KWSP dibawah nisab, hendaklah dicampurkan bersama pendapatan lain.
Setelah mencapai umur 55 tahun (pemilikian sempurna)
2.5% atas keseluruhan wang KWSP dizakatkan seperti kaedah zakat simpanan. Dengan itu, tiada lagi tolakan caruman KWSP pada taksiran zakat pendapatan untuk yang masih bekerja dan membuat caruman KWSP.
Cara Kira Zakat KWSP
Nisab tahun 2024 : RM 24,198.00
Encik Ahmad berumur 38 tahun mengeluarkan wang caruman KWSP sebanyak RM 30,000.
Jumlah yang dikenakan zakat : RM 30,000 x 2.5% = RM 750.00
Fatwa Zakat KWSP
Fatwa menurut di bawah Seksyen 47, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 [En. 1/2003], Jawatankuasa Fatwa bagi Negeri Selangor, atas perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan menyediakan fatwa yang dinyatakan dalam jadual dan disiarkan menurut subseksyen 48(6) Enakmen itu.
Pencarum KWSP digalakkan mengeluarkan zakat sejurus menerima atau mengeluarkan wang KWSP tersebut jika cukup nisabnya tanpa menunggu haul setahun.
FATWA DI BAWAH SEKSYEN 47 Jumlah pengeluaran KWSP yang wajib dizakatkan adalah keseluruhannya (pokok + dividen + bonus) TANPA perlu diasingkan (tidak perlu pembersihan) pulangan dividen atau bonus yang tidak patuh syariah. Ini kerana para penyimpan diwajibkan mencarum oleh pihak kerajaan tanpa ada pilihan (ijbari). Penyimpan juga tidak wajar dibebankan ke atas sesuatu tindakan kerajaan yang di luar kawalan mereka.
“Dan seseorang pemikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain”
Fatir : 18 dan Al-An’aam 164
Kaedah fiqh تَصَرُّفُ الْأِمَاِم عَلَى الرَّاعِيَّةِ مَنُوْطٌ بِالْمَصْلَحَةِ iaitu “tindakan pemerintah terhadap rakyat harus terikut dengan kemaslahatan” membenarkan pengurusan wang rakyat oleh kerajaan mengikut Akta KWSP 1991.
Namun sekiranya nanti, KWSP sudah menyediakan pilihan pelaburan secara patuh shariah, maka penyimpan yang tidak memilih pelaburan tersebut perlulah membersihkan /menyucikan bahagian yang haram / syubhah tersebut ke Baitulmal.
Untuk maklumat lanjut, layari portal zakat kami di ezakat.org